Sunday, March 8, 2009

Berbudi bahasalah!!

RAKYAT Malaysia tidak kira apa bangsa dikenali sebagai orang timur yang terkenal dengan budi bahasa. Cuma ada segelintir sahaja yang gagal mengawal emosi akibat provokasi yang dijelmakan oleh sesetengah pihak.
Salah-menyalah dan tuding-menuding sudah menjadi budaya kita demi melepaskan tengkuk masing-masing. Situasi sebegini adalah lumrah di Parlimen mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Di Malaysia, suasana itu semakin hangat sejak pakatan pembangkang mendapat banyak kerusi di Parlimen. Di negara-negara yang mengamalkan demokrasi sejak beratus tahun dahulu seperti Britain dan Amerika Syarikat, tuding-menuding dilakukan dengan fakta dan hujah matang yang jauh dari bersifat meraih populariti. Sebaliknya demi memajukan negara mereka ke tahap lebih membanggakan dan lebih dihormati oleh kawan dan lawan.
Bahasa jiwa bangsa dan Rukun Negara terakhir - kesopanan dan kesusilaan adalah jati diri rakyat Malaysia.
Pelancong asing berasa selesa berjalan di serata negara kita. Ada pelancong yang berulang ke negara kita hanya kerana yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi yang indah itu bahasa.
Malangnya budi bahasa yang kita banggakan seantero Malaya dan dunia global ini diberi wajah yang berlainan di Parlimen. Bukankah dewan yang mulia itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Emosi luar dewan dibawa bersama ketika berbahas dan kematangan yang dituntut bertukar menjadi luahan emosi yang mengguris hati rakyat.
Mungkin ada asas untuk pihak yang beremosi dalam berkata apa yang ingin diluahkan. Tetapi harus diingat tangan yang berani mencincang harus mempunyai bahu yang kuat untuk memikul hasil cincangan.
Berani kerana benar takut kerana salah memang falsafah orang yang bersifat pejuang. Tetapi biarlah perjuangan atas dasar untuk rakyat yang memilih bukannya mempamerkan sifat ayam jantan yang berkokok di malam hari.
Rakyat menyandarkan harapan untuk setiap ahli Parlimen yang dipilih berjuang demi kepentingan semua rakyat. Masa di Parlimen terlalu berharga untuk dibazirkan dengan episod tuduh-menuduh dan provokasi yang dicetuskan hanya kerana rasa tidak puas hati.
Budi bahasa yang paling tinggi nilainya ialah memperkatakan sesuatu yang buruk dengan cara dan nada yang elok. Parlimen sepatutnya menjadi medan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kemelesetan ekonomi dunia tidak kira dari blok mana ahli Parlimen itu berada. Perbahasan penuh etika dan berbudi bahasa penting agar menjurus kepada membela nasib rakyat dengan penuh hikmah dan sistematik.

1 comment:

  1. slm...
    sahabatku yg dirindui, lmny lost contact..
    jie jpe link blog ni ms bc komen kt blog su'aidah..
    mn chatbox nye, ja? huhu...
    sng2 lwt la blog jie plak, add ym skali..hehe
    miss u my dear..^^,

    ReplyDelete