Sunday, March 8, 2009

Dimanakah kita???????



SEPERTI ada agenda bersiri, perkara-perkara berkaitan kepentingan bumiputera dan orang Melayu terus menjadi serangan rasa tidak puas hati pihak tertentu.
Selepas ekuiti bumiputera, kontrak sosial dan ketuanan Melayu, dasar kerajaan membantu kaum bumiputera pula dituduh sebagai 'apartheid'.
Reaksi daripada provokasi bersikap perkauman seperti itu sebenarnya sudah dapat diduga. Masyarakat bumiputera dan orang Melayu berhak rasa terguris kerana kenyataan seperti itu langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada nilai-nilai perpaduan kaum di negara ini.
Ia juga sama sekali tidak berasas selepas beberapa generasi kaum yang didakwa kononnya tertindas mengecapi kemewahan hidup lebih baik daripada kaum bumiputera sendiri.
Justeru, kita pastinya tertanya-tanya, apakah niat dan agenda di sebalik pertikaian berterusan ke atas hak kaum bumiputera dan orang Melayu itu?
Apa yang cuba disentuh mengenai keistimewaan kaum bumiputera termasuk dalam tuduhan apartheid ini sebenarnya sudah acap kali dibincangkan, terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Penjelasan mengenai kontrak sosial, ketuanan Melayu dan Perlembagaan Persekutuan dibuat dengan sangat meluas sama ada di media cetak, elektronik atau siber atas semangat perpaduan kaum.
Pakar-pakar sejarah sama ada Melayu, Cina dan India juga sudah penat melontarkan pandangan masing-masing dalam memperjelaskan kedudukan sebenar setiap kaum dalam konteks kewarganegaraan.
Jelaslah, usaha itu di sisi pemimpin politik seperti Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau hanyalah sesuatu yang sia-sia.
Kenyataan seperti itu bukan sahaja menunjukkan beliau buta sejarah, malah turut menyebarkan kedangkalan dalam mentafsir nasionalisme kepada rakyat secara terbuka.
Adalah sesuatu yang membimbangkan dengan pengaruh yang ada, perjuangan bersifat perkauman seperti itu boleh meresap ke dalam jiwa dan pemikiran rakyat yang bersamanya.
Jika dibiarkan, sentimen itu lama-kelamaan boleh menjadi seperti api yang membakar dalam sekam seterusnya mengancam perpaduan pelbagai kaum di negara ini.
Seharusnya kenyataan berbaur perkauman seperti itu tidak disambut oleh mana-mana pihak. Ia jelas dibuat dalam keadaan tidak rasional yang turut membelakangkan sifat-sifat profesional seorang pemimpin.
Maka, tidak seharusnya pemimpin-pemimpin lain serta rakyat terpengaruh dengan kenyataan yang berniat sengaja mencari publisiti murahan semata-mata.
Dalam kes perang mulut antara Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pemuda UMNO berhubung isu perkataan 'celaka' dan 'peluru' misalnya, gelagat kedua-dua pihak yang bertegang urat sangat memalukan.
Pemuda UMNO perlu sedar Karpal membangkitkan isu itu di dalam Dewan Rakyat yang mana beliau mempunyai imuniti.
Justeru, Pemuda UMNO tidak seharusnya cepat melatah dan mengikut rentak tidak sopan Karpal kerana kesannya berbalik kepada orang Melayu sendiri.
Aksi-aksi ganas seperti yang berlaku di luar Dewan Rakyat disaksikan oleh seluruh rakyat dalam suasana yang sangat cemas.
Dalam menangani situasi seperti itu, Pemuda UMNO seharusnya menyerahkan perkara itu mengikut lunas undang-undang, bukannya bertindak seperti menyimbah minyak ke dalam api.
Namun, persoalannya kini, selepas satu demi satu kenyataan berbaur perkauman dilemparkan, apa jaminan anasir-anasir yang boleh memecah-belahkan rakyat seperti itu akan berakhir?
Tanpa ketegasan daripada kerajaan, pemimpin politik yang sengaja menyentuh mengenai isu perkauman menjadi semakin berani dalam tindakan mereka bermain dengan isu-isu sensitif.
Hakikatnya kerajaan mempunyai undang-undang yang jelas dalam menangani isu-isu yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan kaum bumiputera di negara ini.
Akta Hasutan 1948 misalnya memperincikan mengenai perkara itu selari dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah dari sudut sejarah, negara pernah menyaksikan berlakunya peristiwa hitam tragedi 13 Mei 1969 akibat tindakan segelintir pihak mempertikaikan keistimewaan kaum bumiputera.
Pengajaran yang boleh dikutip daripada peristiwa itu sangat besar dan seharusnya tidak dibangkitkan kembali oleh sesiapa dan dalam apa jua bentuk sekali pun.
Perkara itu turut ditekankan oleh pensyarah dan koordinator penerbitan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Madya Dr. Nasrudin Mohammed yang berpendapat, adalah tidak wajar untuk kerajaan bertangguh dalam menegakkan undang-undang ke atas individu yang jelas melanggar batas-batas perkauman.
Katanya, soal keselamatan dalam negeri adalah komponen yang sangat penting untuk dipertahankan, bukannya perkara yang boleh ditoleransi.
Justeru, undang-undang sedia ada perlu digunakan dalam mengekang sebarang kemungkinan tercetusnya situasi kekacauan dalam masyarakat akibat kenyataan yang berbentuk hasutan.
Apatah lagi dalam situasi tahap nasionalisasi segelintir pemimpin politik ketika ini boleh dipersoalkan, seharusnya undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lebih diperketatkan. Begitu juga dengan ancaman menerusi blog-blog berbentuk hasutan dan kebencian yang tersebar dan boleh dicapai dengan mudah.
Perlu difahami undang-undang itu langsung tidak menghalang sesiapa jua untuk melontarkan pandangan.
Tetapi ia sesekali tidak boleh menyentuh isu sensitif yang boleh mencetuskan kebimbangan dan huru-hara dalam masyarakat.
''Dalam erti kata yang lain undang-undang itu meminta untuk kita beradab, iaitu meletakkan sesuatu perkara di tempat yang sewajarnya," kata beliau.
Justeru adalah diharapkan, kerajaan dalam menangani isu sensitif yang menyentuh perkauman dan keagamaan lebih bersikap tegas mengikut undang-undang sedia ada.
Tindakan seperti itu mungkin sesuatu yang tidak popular, tetapi ia perlu kerana soal keselamatan dan keharmonian kaum bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan dengan apa-apa sekali pun.

No comments:

Post a Comment